KUALA LUMPUR : Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memberi jaminan krisis air terutamanya yang melibatkan kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan diselesaikan dengan segera.

Dalam lawatan mengejut ke UMS semalam, beliau mendapati terdapat beberapa isu yang menyebabkan krisis air di sekitar kawasan ini belum dapat diselesaikan.

Antaranya ialah, bekalan air yang tidak cukup serta tekanan air yang rendah di dalam tangki besar yang menyebabkan air tidak dapat dipam dan disalurkan ke paip-paip sekitarnya.

“Saya mengikuti perkhabaran semasa, mendengar rintihan dan keluhan warga kampus UMS mengenai krisis air yang berlaku.

“Hari ini dalam rangka lawatan kerja singkat saya mengiringi Perdana Menteri ke Sabah, saya mengambil peluang untuk datang melawat ke UMS secara mengejut tanpa memaklumkan kepada mana-mana pihak kerana saya ingin melihat terus situasi sebenar yang berlaku di sini.

“Hinggalah pada saat ketibaan saya dan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri diketahui oleh pihak pengurusan UMS, Naib Canselor dan beberapa pegawai terlibat dengan projek pemulihan air UMS ini turut serta.

“Perdana Menteri sangat mengambil berat dan peka dengan isu air di Sabah ini. Dalam taklimat Pembangunan Negeri Sabah hari ini, beliau turut menyentuh mengenai krisis air yang tiada kesudahan di UMS,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.


Menurutnya, tahun lalu Perdana Menteri meluluskan peruntukan RM3 juta kepada UMS untuk mengatasi isu air dan pada lawatan Zambry Januari tahun ini, beliau menambah peruntukan itu sebanyak RM2 juta lagi.

Namun, jadual perancangan siap sedikit terganggu susulan beberapa isu lain yang timbul.

Zambry berkata, masalah utama berhubung air di UMS ialah bekalan yang tidak mencukupi dan perkara itu diuruskan oleh Jabatan Air Negeri Sabah.

Beliau difahamkan Ketua Menteri Sabah dan Kerajaan Negeri Sabah sedang bersungguh-sungguh memastikan saluran air mencukupi dapat dibekalkan ke UMS dan kawasan sekitarnya.

“Pada masa sama, isu non-revenue water (NRW) sentiasa berlaku di paip-paip di kawasan luar dan ini menyebabkan air tidak dapat sampai kepada pengguna di dalam UMS.

"Bersebelahan dengan tangki besar ini, juga sedang dalam pembinaan, ialah sebuah tangki utama khas untuk kegunaan dalam UMS.

“Insya-Allah apabila siap, sedikit sebanyak dapat meningkatkan peratusan UMS memperolehi bekalan air yang terhad daripada Jabatan Air Negeri Sabah.

“Saya telah berbincang dan mengarahkan agar semua gerak kerja ini akan diselesaikan sesegera mungkin melalui apa jua kaedah secara bersama dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Jabatan Air Negeri,” tambahnya.

Sehubungan itu, Zambry berkata, beliau akan memastikan pembangunan pesat yang sedang berlaku di sekitar UMS, terutamanya pembinaan Hospital UMS, perlu dititikberatkan oleh pihak UMS dan Jabatan Air Negeri, agar bekalan air tersedia dan mencukupi untuk jangka masa panjang.